Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin di tengah-tengah jangkaan bahawa pasaran mata wang akan kekal stabil untuk awal minggu ini, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1445/1495 daripada 4.1560/1575 sewaktu ditutup pada Jumaat lalu.

Penganalisis Kanan OANDA bagi Pasaran Asia Pasifik, Jeffrey Halley, berkata pasaran mata wang dijangka kekal stabil kerana pelabur menunggu pelbagai data yang akan dikeluarkan lewat minggu ini.

"Bagaimanapun, peningkatan hasil Perbendaharaan AS atau ancaman kepada pertumbuhan akibat situasi virus di Thailand, Malaysia dan Indonesia mendedahkan baht Thailand, ringgit dan rupiah kepada tekanan dan dijangka berlaku sedemikian bagi sepanjang minggu ini," katanya.

Beliau berkata, minggu itu akan didominasi oleh pengeluaran rasmi bagi Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan dan Perkhidmatan China pada Rabu, PMI Pembuatan Caixin yang lebih meluas pada Khamis dan Senarai Gaji Bukan Ladang AS pada Jumaat.

Ketika ditutup, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan menokok berbanding pound Britain kepada 5.7700/7769 daripada 5.7781/7802 pada penutupan Jumaat dan naik berbanding euro kepada 4.9481/9541 daripada 4.9627/9645.

Ia turut naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0865/0906 daripada 3.0964/0980 pada Jumaat lepas dan meningkat sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.7439/7484 daripada 3.7526/7540 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini