Ringgit ditutup rendah dua hari berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah dua hari berturut-turut




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa yang juga penyusutan untuk hari kedua berturut-turut.

Perkembangan itu berlaku ketika kenyataan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS yang cenderung terhadap kenaikan kadar faedah pada minggu lalu, terus mendorong peningkatan unit negara maju itu.

Pada 6 petang, ringgit susut ke paras 4.1590/1620 berbanding dolar AS daripada 4.1450/1480 yang dicatatkan pada akhir dagangan pada Isnin.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata aliran penurunan ringgit itu bermula sejak Januari lalu dan tidak memaparkan sebarang peningkatan ketara.

"Pasaran akan memberi perhatian khusus kepada Indeks Harga Pengguna Malaysia yang dijadual diumumkan pada akhir minggu ini. Sebarang angka yang lebih tinggi daripada unjuran awal, berkemungkinan menggambarkan inflasi bakal berlaku.

"Ini juga memaparkan kemungkinan masih wujud peluang kenaikan kadar faedah dalam masa terdekat," katanya.


Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0874/0901 daripada 3.0841/0868 sewaktu urus niaga ditutup semalam dan rendah berbanding yen kepada 3.7658/7689 daripada 3.7641/7671.

Unit tempatan itu juga turun berbanding mata wang pound kepada 5.7681/7723 daripada 5.7495/7537 pada Isnin dan rendah berbanding euro kepada 4.9426/9461 daripada 4.9321/9357.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini