Sekatan pergerakan penuh tak jejaskan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Sekatan pergerakan penuh tak jejaskan ringgit




KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan sekatan pergerakan penuh selama dua minggu dengan menunjukkan kestabilan, memberi petunjuk bahawa sebarang kesan buruk daripada langkah pembendungan itu adalah terhad.

Mata wang tempatan mencatatkan prestasi terburuk di Asia pada Mei, jatuh hampir satu peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila kes COVID-19 melonjak ke paras tertinggi.

Bagaimanapun, ringgit tidak pernah turun ke paras terendah pada Mac iaitu di bawah RM4.16 berbanding satu dolar AS serta stabil minggu lalu pada sekitar RM4.13.

Laporan Bloomberg menyatakan sebahagian faktor yang mempengaruhi prestasi ringgit adalah kenyataan Kementerian Kewangan mengenai impak sekatan pergerakan penuh terhadap pertumbuhan ekonomi hanya di bawah satu peratus.

Ia berdasarkan kepada strategi bersasar kerajaan dalam hubungan fizikal, selain membenarkan sektor yang menyumbang lebih daripada 90 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk beroperasi.

Malah, ada yang berpendapat bahawa sekatan berkemungkinan menguntungkan ringgit jika lebihan perdagangan Malaysia diperbesarkan dengan mengurangkan permintaan import dan pengukuhan eksport.

Pakar strategi mata wang Asia di Macquarie Capital Ltd Hong Kong, Trang Thuy Le, berkata sekatan pergerakan penuh dapat mengukuhkan ringgit disebabkan oleh tekanan permintaan domestik seperti yang dilihat sebelum ini dalam peso Filipina atau rupee India.

Rupee adalah mata wang berprestasi terbaik di Asia bulan lalu walaupun COVID-19 terus meningkat dan hampir melumpuhkan India.

Katanya, risiko jangka pendek yang lebih besar untuk ringgit mungkin berlaku sekiranya pakej pemulihan ekonomi kerajaan bernilai RM40 bilion mendorong pelabur asing menjual bon Malaysia kerana khuatir terhadap defisit fiskal.

Ahli ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research) turut mengunjurkan defisit fiskal Malaysia menjadi 6.1 peratus daripada KDNK, berbanding ramalan rasmi kerajaan sebanyak enam peratus setelah mempertimbangkan pakej bantuan itu.

Thuy Le berkata, aliran keluar pendapatan tetap boleh meningkat dalam waktu terdekat kerana bimbang mengenai kemerosotan fiskal.

"Namun, kami fikir ini harus lebih daripada diimbangi oleh import yang lemah semasa sekatan. Ringgit akan berada pada RM4.12 berbanding dolar AS pada akhir bulan ini," katanya.
Kenaikan harga minyak mentah juga dapat membantu menyokong ringgit disebabkan status Malaysia sebagai pengeksport minyak.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini