Ringgit dijangka diniagakan rendah minggu hadapan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka diniagakan rendah minggu hadapan




KUALA LUMPUR: Ringgit kemungkinan akan susut ke paras 4.13 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu hadapan kerana ekonomi AS mencatatkan kadar pekerjaan yang lebih tinggi pada Mei, kata penganalisis.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata unit tempatan dipengaruhi oleh langkah yang diambil oleh Presiden AS, Joe Biden untuk menyekat pelaburan Amerika terhadap 59 syarikat dari China yang mempunyai kaitan dengan ketenteraan dan pemantauan negara itu.

"Antara 59 syarikat yang dilarang itu adalah syarikat teknologi seperti Fujian Torch Electron Technology dan Huawei Technologies. Akibatnya, kebimbangan muncul mengenai permintaan komponen semikonduktor Malaysia dari China," katanya kepada Bernama.

Adam berkata, sebarang kenyataan yang tidak berubah daripada Biden mengenai sekatan syarikat China itu akan menyumbang kepada kelemahan ringgit minggu depan.

Pada hari Jumaat, Jabatan Buruh AS melaporkan pembayaran gaji yang lebih tinggi sebanyak 559,000 pada Mei selepas kenaikan 278,000 yang disemak pada April, manakala kadar pengangguran turun kepada 5.8 peratus.

Bagi asas mingguan, ringgit merosot berbanding dolar AS kepada 4.1275/1285 daripada 4.1320/1350 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan itu kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding yen kepada 3.7482/7494 daripada 3.7598/7629 pada minggu sebelumnya, menokok berbanding pound kepada 5.8313/8327 daripada 5.8604/8651.

Ringgit naik berbanding euro kepada 5.0013/0025 daripada 5.0344/0385 dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1076/1086 daripada 3.1213/1238 pada minggu sebelumnya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini