Isu politik, COVID-19 jejas prestasi ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Isu politik, COVID-19 jejas prestasi ringgit



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan peserta pasaran mengambil kira perkembangan politik dan situasi COVID-19 di Malaysia, kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan turun 95 mata asas (bps) untuk dibuka kepada 4.1700/1750 berbanding dolar AS daripada 4.1605/1625 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata sentimen terhadap ringgit dipengaruhi terutama daripada keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi yang mana parti itu menarik balik dan menamatkan sokongan serta merta kepada kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media secara maya selepas mesyuarat berkenaan.

"Ketidakstabilan politik seumpama ini tidak disukai oleh pelabur kerana perkembangan agenda ekonomi negara mungkin akan tertangguh," katanya kepada Bernama, menyatakan situasi sedemikian akan memberi tekanan menurun kepada unit tempatan.

Sehubungan itu, beliau berkata ringgit dijangka diniagakan antara RM4.16 hingga RM4.17 berbanding dolar AS hari ini.

Sementara itu, semalam Malaysia merekodkan 7,097 kes baharu COVID-19.

Sewaktu dibuka, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0877/0917 daripada 3.0878/0895 pada penutupan Rabu dan meningkat berbanding euro kepada 4.9164/9223 daripada 4.9210/9234 semalam.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.7724/7769 daripada 3.7563/7585 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.7500/7569 daripada 5.7452/7480 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini