Ringgit bermula lemah hari keempat berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit bermula lemah hari keempat berturut-turut



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini untuk hari keempat berturut-turut selepas Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) Malaysia menyusut selain daripada penurunan harga minyak mentah yang menjejaskan mata wang, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.02 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.1635/1660 berbanding dolar AS daripada 4.1575/1600 penutupan Khamis.

Indeks keseluruhan IHS Markit merosot dengan ketara ke paras rendah menghampiri 39.9 pada Jun 2021 daripada 51.3 pada bulan sebelumnya, sekali gus mencerminkan pelaksanaan langkah-langkah yang semakin ketat untuk membendung penularan COVID-19.

Pedagang ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata PMI AS untuk Jun yang turut mempamerkan angka yang rendah daripada jangkaan bagaimanapun, memberikan isyarat bercampur-campur kepada keadaan ekonomi.

"Memandangkan PMI AS kekal melepasi 50, ia masih bagus, tetapi sejak akhir-akhir ini, ia mula menunjukkan pembacaan yang menurun, sesuatu yang perlu dibimbangkan sekiranya pembacaan seterusnya terus menyusut.

"Pelabur juga akan memberi perhatian kepada data gaji bukan ladang dan kadar pengangguran, yang dijangka diumumkan lewat hari ini," katanya.

Sementara itu, minyak penanda aras Brent susut 0.15 peratus kepada AS$75.73 setong.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama yang lain.
Unit tempatan turun berbanding pound Britain kepada 5.7290/7324 daripada 5.7257/7292 pada Khamis, lemah berbanding euro kepada 4.9304/9334 daripada 4.9271/9300, dan menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.7297/7320 daripada 3.7280/7303 sebelumnya.

Unit tempatan, bagaimanapun, meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0836/0857 daripada 3.0869/0890 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini