Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa berikutan kekurangan sokongan belian di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19 tempatan, kata peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.1910/1930 daripada paras penutup 4.1900/1930 pada Isnin.

Malaysia merekodkan 11,079 kes COVID-19 baharu pada Selasa, kali pertama jangkitan harian mencecah lima angka, peningkatan mendadak daripada paras jangkitan yang telahpun tinggi pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor mencatatkan 5,263 kes baharu, yang tertinggi di negara ini.

Peniaga berkata, ringgit menyusut bagi lima hari dagangan berturut-turut apabila sentimen dalam pasaran tempatan menjadi lemah berikutan kebimbangan terhadap lonjakan semula kes COVID-19 dengan kawalan pergerakan penuh menjejaskan minat risiko pelabur.

"Bagaimanapun, pemulihan sedikit harga minyak membantu mengehadkan aliran menurun ringgit," katanya.

Hari ini, penanda aras minyak mentah Brent meningkat sebanyak 0.55 peratus kepada AS$75.57 setong.
Unit tempatan bagaimanapun diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding pound kepada 5.8070/8098 daripada paras penutup 5.8082/8123 pada Isnin dan naik berbanding euro kepada 4.9634/9658 daripada 4.9668/9704.

Unit tempatan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0996/1016 daripada 3.1003/1027 dan menambah berbanding yen kepada 3.8017/8035 daripada 3.8053/8080 sebelumnya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini