Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS



 
KUALA LUMPUR: Ringgit terus ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini walaupun harga minyak mentah lebih kukuh kerana sentimen tempatan kekal lemah berikutan peningkatan kes COVID-19 di negara ini.

Pada 6 petang, unit tempatan itu jatuh kepada 4.2330/2355 berbanding dolar AS berbanding 4.2310/2350 ketika ditutup pada Selasa.

"Selain itu, pelabur juga bimbang menjelang keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang mana pengurangan pembelian aset mungkin berlaku lebih awal daripada jangkaan disebabkan inflasi yang tinggi di AS," demikian menurut ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Adam Mohamed Rahim.

Malaysia mencatatkan rekod tertinggi 17,405 kes COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kes positif terkumpul sebanyak 1,061,476 sejak pandemik itu menular di negara ini awal tahun lalu.

Sementara itu, Penganalisis Kanan OANDA Asia Pacific, Jeffrey Halley, berkata kenaikan harga minyak mentah tidak mungkin dapat mengukuhkan unit tempatan itu pada masa ini di tengah-tengah situasi COVID-19 yang semakin buruk dan ketidakstabilan politik.

Pada penutupan, unit tempatan itu diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Ringgit susut berbanding euro kepada 5.0017/0047 berbanding 4.9845/9893 ketika ditutup semalam dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.8489/8515 daripada 3.8418/8458.

Mata wang tempatan itu juga jatuh berbanding pound Britain kepada 5.8733/8768 daripada 5.8286/8341 dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1141/1162 daripada 3.1099/1131.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini