Harga emas pukal naik lepasi paras RM268 segram - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga emas pukal naik lepasi paras RM268 segram



KUALA LUMPUR: Harga emas pukal melonjak melepasi paras AS$1,800 (RM7,600) seauns atau lebih RM268.11 segram disokong ketidaktentuan pasaran saham global, komoditi dan kadar faedah jangka panjang.

Pengurus Besar Kanan, Jualan dan Pemasaran, Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaruddin Mahmud, berkata lonjakan harga emas selepas mencatat kejatuhan pada paras AS$1,760 (RM7,431) seauns atau RM262.15 segram turut dipengaruhi kebimbangan pelabur ke atas hubungan tegang Amerika Syarikat (AS) dan China dalam menangani isu Taiwan.

"Lonjakan harga emas ini juga disebabkan oleh pengumuman Rizab Persekutuan (Fed) pada Jun yang mengunjurkan pemulihan ekonomi masih dalam keadaan yang samar berikutan kebimbangan terhadap peningkatan jangkitan varian baru COVID-19 di kebanyakan negara di dunia.

"Disebabkan faktor yang dinyatakan, ia memberi keyakinan kepada pelabur untuk beralih kepada emas berbanding pasaran saham dan kewangan," katanya ketika dihubungi BH, baru-baru ini.

Harga emas berada pada paras AS$1,808.85 (RM7,638) seauns atau RM269.43 hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zaruddin, berkata bagi perkembangan di peringkat domestik, walaupun pada kebiasaannya permintaan akan meningkat apabila harga menaik, ia tidak berlaku di Malaysia disebabkan akses untuk membeli dan menjual emas terhad kepada pembelian secara dalam talian sahaja ketika ini.

"Di Habib, kita menerima banyak permintaan daripada orang ramai untuk menjual emas dalam simpanan mereka bagi membiayai perbelanjaan harian disebabkan pendapatan terjejas, namun tidak dapat dilakukan kerana kita masih tidak dibenarkan untuk beroperasi.

"Ini akan menyebabkan kesukaran kepada golongan ini. Secara tradisinya di negara kita, umum mengetahui yang ramai di antara kita yang tidak mempunyai simpanan tunai di bank.
"Mereka menyimpan aset dalam bentuk emas dan biasanya akan ditukarkan kepada tunai di waktu terdesak," katanya.

Justeru, katanya, ramai berharap agar kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk melonggarkan kebenaran untuk kedai emas beroperasi ketika waktu yang sukar ini.

"Sekiranya kegiatan ekonomi yang boleh mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tidak diberi kelonggaran untuk beroperasi, ia akan menjejaskan ekonomi negara kita secara keseluruhan.
"Kita harus mengelakkan diri daripada inflasi. Kita juga tidak mahu ramai yang akan kehilangan pekerjaan dan ekonomi harus dijana melalui SOP yang ketat.

"Program vaksinasi perlu diberikan kepada golongan bersasar termasuk sektor perkilangan dan peruncitan yang menjadi antara pemacu utama kelangsungan ekonomi negara," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kim Trading Venture Sdn Bhd, Liew Kim Fung berkata, kemunculan fasa baharu dalam krisis COVID-19 akan memberi sokongan yang kuat untuk momentum emas.
Katanya, keadaan itu bagaimanapun menyaksikan belian emas fizikal kurang kerana kebanyakan orang menyimpan kecairan tunai untuk kekal bertahan ketika tempoh krisis.

"Ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti juga boleh mendorong pelabur beralih kepada emas kerana kebanyakan aktiviti perniagaan tidak dapat beroperasi.

"Justeru, adalah langkah bijak untuk memilih emas sebagai aset selamat sehingga pemulihan sepenuhnya ekonomi," katanya.

Kim Fung berkata, emas memiliki paras sokongan kukuh kepada AS$1,750 (RM7,389) seauns atau RM260.66 segram dan rintangan AS$1,920 (RM8,107) seauns (RM285.99 segram).

"Penurunan harga emas pada Jun disebabkan oleh laporan terbaharu mengenai pemulihan ekonomi AS dan cadangan Fed mengenai pasaran buruh, dasar lebih ketat dan pendirian kurang memberangsangkan berkaitan kadar faedah.

"Persekitaran ini akan meningkatkan kebimbangan pelabur kerana langkah menaikkan kadar faedah akan meningkatkan beban pegangan emas," katanya.

Berhubung perkembangan kadar inflasi di seluruh dunia, beliau menjelaskan, emas sering digunakan sebagai pelindung kepada inflasi dan untuk tempoh jangka panjang harga emas akan mengatasi kepantasan kadar inflasi.

"Melihat kepada keadaan semasa, bahkan harga minyak mentah melonjak dari AS$20 kepada AS$75 setong sejak lebih setahun lalu, ia akan meningkatkan kos pengangkutan di mana mempengaruhi kadar inflasi. Kesannya, harga emas akan meningkat kerana kos yang telah dialihkan kepada pengguna," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini