Harga minyak dunia terendah sejak Mei - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak dunia terendah sejak Mei



SINGAPURA: Minyak mentah susut di bawah AS$65 setong untuk mencecah paras terendah sejak Mei selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memberi isyarat akan mengurangkan pembelian aset dalam tempoh beberapa bulan.

Perkembangan itu sekali gus memacu dolar AS tetapi menjejaskan komoditi.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) susut dua peratus, penyusutan untuk hari keenam berturut-turut, selepas penanda aras Brent juga merosot.

Bulan lalu, kebanyakan pegawai Fed bersetuju untuk memperlahankan pembelian bon pada akhir tahun ini, demikian menurut minit mesyuarat Julai yang diumumkan pada Rabu.

Tekanan penurunan tambahan ke atas minyak mentah datang daripada laporan mengenai pegangan produk dan minyak oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).

Walaupun stok minyak mentah turun, berlaku kenaikan inventori petrol yang mengejutkan, menandakan permintaan terhadap bahan api berisiko disebabkan oleh varian Delta yang memberi ancaman.

Kenaikan dolar AS dalam tempoh beberapa minggu lalu juga bertindak sebagai penghalang kepada harga minyak, menjadikan harga komoditi dalam mata wang AS lebih mahal.
Pada masa sama, OPEC+ terus menyatakan komitmen dengan pemulihan bekalan secara beransur-ansur.

"Persekitaran keseluruhan rapuh sejak awal, jadi saya berpendapat minit mesyuarat Fed, menambah kepada lapisan kerapuhan," kata Ahli Ekonomi Oversea-Chinese Banking Corp (OCBC), Howie Lee.
Bagi mengurangkan impak ekonomi AS daripada pandemik, Fed telah menyuntik aset bulanan bernilai AS$120 bilion (RM508.13 bilion) bagi meningkatkan komoditi dan stok.

Minit mesyuarat Fed juga menunjukkan kebanyakan pegawai membuat penilaian wajar untuk mengurangkan pembelian.

Penularan pantas varian Delta dan langkah menanganinya akan menjejaskan unjuran bagi penggunaan tenaga.

Presiden AS, Joe Biden pada Rabu meningkatkan maklum balas pentadbiran bagi menangani peningkatan jangkitan di seluruh negara dengan menetapkan beberapa langkah, termasuk penggunaan vaksin penggalak.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini