Harga minyak susut menjelang mesyuarat OPEC+ - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak susut menjelang mesyuarat OPEC+

SINGAPURA: Harga minyak dijangka mencatatkan penurunan bulanan terbesar sejak Oktober lalu apabila pelabur mempertimbangkan prospek pengeluaran tambahan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) selain pemulihan semula output di Amerika Syarikat (AS) selepas Taufan Ida.

West Texas Intermediate (WTI) berada 0.5 peratus lebih rendah di bawah AS$69 setong selepas meningkat 0.7 peratus pada Isnin.

Meskipun pengeluar di Teluk Mexico dijangka memulakan semula operasi secara berperingkat selepas Taufan Ida membadai Lousiana, kilang penapisan tempatan mungkin bergerak lebih perlahan.

Dengan jangkaan pengunaan minyak terkesan daripada varian Delta akan mulai reda, OPEC+ dijangka menambah pengeluaran 400,000 tong sehari.

Harga minyak amat tidak menentu pada Ogos, turun dan naik selang seminggu apabila pelabur memberikan reaksi kepada perkembangan terbaharu krisis kesihatan global dan juga perubahan mata wang AS.

Penanda aras minyak AS jatuh hampir tujuh peratus bulan ini, walaupun ada penggunaan stabil stok simpanan dan beberapa negara, termasuk pengimport utama minyak mentah, China berjaya mengawal penularan varian Delta.

"Arusnya beralih sejak beberapa minggu kebelakangan ini, apabila pasaran lebih selesa bahawa pemulihan permintaan tidak terjejas oleh varian Delta," kata ahli strategi komoditi kanan Australia & New Zealand Banking Group Ltd, Daniel Hynes.

"Bagaimanapun, pasaran akan memerhatikan mesyuarat OPEC+ untuk mendapatkan apa-apa isyarat bahawa permintaan tidak meningkat kukuh seperti yang dijangka."

Data pada Selasa menunjukkan bahawa sekatan pergerakan yang dikenakan oleh Beijing untuk membendung penularan varian Delta memberi kesan kepada kadar pertumbuhan.

Indeks pengurus pembelian pembuatan rasmi jatuh kepada 50.1 daripada 50.4 bulan lalu, sedikit rendah berbanding anggaran median kaji selidik ahli ekonomi oleh Bloomberg.

OPEC+ sudah memulakan kira-kira 45 peratus pengeluaran yang dihentikan sebelum ini apabila pandemik tercetus.

Di bawah pelan yang diketuai oleh Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman, pakatan pengeluar itu akan kembali menambah 400,000 tong sehari setiap bulan sehingga akhir 2022.

Di AS, syarikat tenaga yang terkesan oleh Taufan Ida sudah kembali beroperasi.

Colonial Pipeline Co berkata, ia akan memulakan semula Saluran 1 petrol dan diesel serta Saluran 2 bahan api jet dari Texas ke Carolina Utara pada petang Isnin.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini