Lonjakan kes COVID-19 heret turun ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Lonjakan kes COVID-19 heret turun ringgit




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dengan tidak meneruskan kenaikan semalam berikutan lonjakan kes COVID-19 serta penurunan harga minyak yang mempengaruhi sentimen, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2365/2385 berbanding dolar AS daripada 4.2300/2330 sewaktu ditutup semalam.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, memberitahu Bernama, ringgit tidak memberikan reaksi positif terhadap dolar AS meskipun prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada suku kedua 2021 adalah lebih baik.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), ekonomi negara berkembang 16.1 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2021 berbanding dengan penyusutan 0.5 peratus pada suku pertama, disokong terutama oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang kukuh secara berterusan.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk 2021 kini diunjurkan antara tiga dan empat peratus, lebih rendah daripada unjuran sebelum ini antara enam dan tujuh peratus, sebahagian besarnya disebabkan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan COVID-19 di seluruh negara.

Kementerian Kesihatan berkata Malaysia merekodkan 21,468 kes baharu COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 1,363,683.

Setakat ini, penanda aras minyak mentah Brent turun 0.03 peratus kepada AS$71.29 setong.
Unit tempatan turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali pound Britain.

Ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 3.8409/8427 daripada 3.8301/8332 sewaktu ditutup pada Khamis dan turun berbanding euro kepada 4.9775/9798 daripada 4.9660/9695 sebelum ini.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1187/1207 daripada 3.1174/1198, namun menokok berbanding pound Britain kepada 5.8476/8504 daripada 5.8640/8682 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini