Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Urus niaga ringgit dibuka agak rendah pagi ini berbanding dolar AS selepas mata wang dolar terus mengukuh, didorong oleh keyakinan terhadap pemulihan ekonomi.

Mata wang tempatan didagangkan secara berhati-hati di tengah-tengah tekanan jualan menjelang hujung minggu selain daripada pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua Malaysia hari ini, kata seorang peniaga.

Pada 9.00 pagi, ringgit disebut harga pada 4.2350/2370 berbanding dolar AS daripada 4.2300/2330 pada penutupan urus niaga Khamis.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata ringgit dijangka berhadapan dengan halangan hari ini kerana peningkatan kes COVID-19 di China telah menjejaskan prospek permintaan untuk minyak mentah.

"Langkah Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menggesa agar Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) untuk segera meningkatkan pengeluaran dalam usaha mengurangkan kenaikan harga gasolin akan terus menjejaskan sentimen pasaran dan harga minyak mentah," katanya.

"Sememangnya harga minyak mentah Brent dapat mempengaruhi pergerakan ringgit," katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah ringgit mungkin mendapat sokongan lewat hari ini sekiranya data KDNK suku kedua 2021 Malaysia yang akan diumumkan tengah hari ini lebih baik daripada jangkaan.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama yang lain, kecuali pound Britain.

Unit tempatan menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.8354/8375 daripada 3.8301/8332 pada Khamis petang dan lemah berbanding euro kepada 4.9702/9725 daripada 4.9660/9695 sebelumnya.

Ringgit turut berbanding dolar Singapura kepada 3.1186/1203 daripada 3.1174/1198 tetapi tinggi berbanding pound Britain pada 5.8485/8513 daripada 5.8640/8682 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini