Ringgit dijangka terus berada dalam tekanan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka terus berada dalam tekanan


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan antara paras RM4.16 dan RM4.23 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, kata ahli ekonomi, Adam Mohamed Rahim.

Beliau berkata, sentimen pasaran akan terus terkesan di pasaran minyak yang kini sudah menghadapai bekalan berlebihan, Presiden AS, Joe Biden menggesa Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya untuk meningkatkan pengeluaran dengan cepat dalam usaha menstabilkan kenaikan harga petrol.

"Untuk permintaan pula, OPEC mengekalkan unjurannya bagi pertumbuhan permintaan minyak pada 2021 dan 2021 manakala Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengurangkan permintaan minyak untuk separuh kedua tahun itu sebanyak 550.000 tong sehari susulan daripada pandemik COVID-19 yang semakin memburuk," katanya.

Oleh yang demikian, sentimen pasaran minyak yang kurang memberangsangkan akan memberi kesan kepada ringgit.

Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku kedua 2021 yang lebih baik berkembang sebanyak 16.1 peratus, tidak banyak mempengaruhi unit tempatan berbanding dolar AS.

Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat berkata, prestasi ekonomi suku kedua 2021 yang lebih baik terutamanya disokong oleh peningkatan permintaan domestik dan prestasi eksport yang kukuh.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk 2021 kini diunjurkan antara tiga dan empat peratus, lebih perlahan daripada unjuran sebelumnya iaitu antara enam hingga tujuh peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh pelaksanaan semula langkah-langkah pencegahan bagi menangani pandemik COVID-19 di seluruh negara berikutan peningkatan jumlah kes.

Untuk minggu yang baru berakhir, ringgit kebanyakannya diniagakan rendah sepanjang minggu ini kerana kebimbangan mengenai jumlah kes COVID-19 harian yang lebih tinggi.

Berasaskan mingguan, ringgit berada pada 4.2365/2385 berbanding dolar AS daripada 4.2180/2205 minggu lalu, bagaimanapun unit tempatan didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain minggu lalu.

Ringgit turut kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1187/1207 daripada 3.1219/1240 dan melonjak berbanding pound Britain pada 5.8476/8504 daripada 5.8685/8720 sebelumnya.

Unit tempatan naik berbanding euro kepada 4.9775/9798 daripada 4.9815/9844 pada minggu sebelumnua dan mengukuh berbanding yen Jepun pada 3.8409/8427 daripada 3.8415/8442 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini