Ringgit susut ke paras terendah dalam tempoh setahun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut ke paras terendah dalam tempoh setahun



KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia susut ke paras terendah dalam tempoh satu tahun ketika dibuka pagi ini paras 4.241 atau 0.07 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat berikutan spekulasi Perdana Mentari Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan.

Turut sama dibuka rendah adalah pasaran saham Kuala Lumpur yang merosot 10.8 mata atau 0.7 peratus.

Dagangan ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini, dipengaruhi oleh sentimen lemah dengan pelabur tidak memasuk pasaran sambil menantikan perkembangan politik semasa dalam negara hari ini, kata seorang peniaga yang dipetik Bernama.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan disebut harga pada 4.2410/2435 berbanding dolar AS daripada 4.2365/2385 pada penutupan Jumaat minggu lepas.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dilaporkan sebagai berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat pengumuman khas hari ini.

Sementara dari sudut yang lebih positif, ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata ringgit mungkin mendapat sokongan daripada kelonggaran sekatan pergerakan terbaru yang diumumkan pada hari Ahad yang membabitkan 11 sektor ekonomi bagi negeri-negeri dengan sekurang-kurangnya 50 peratus populasi dewasa mereka telah mendapat vaksin lengkap.

"Selain itu, kapasiti kerja untuk sektor seperti pembuatan, pembinaan dan perlombongan telah dibenarkan untuk ditambah menurut peratusan pekerja yang telah mendapat vaksin lengkap," katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama hari ini.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1292/1313 daripada 3.1187/1207, dan menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.8731/8753 daripada 3.8409/8427 pada Jumaat minggu lalu.

Ringgit lemah berbanding euro kepada 5.0023/0052 daripada 4.9775/9798 dan lega berbanding pound Britain kepada 5.8768/8802 daripada 5.8476/8504 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini