Ringgit ditutup lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, disokong kenaikan harga minyak walaupun kes jangkitan harian baharu COVID-19 di negara ini meningkat, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, unit tempatan berada pada 4.2350/2390 berbanding dolar AS daripada 4.2370/2380 sewaktu ditutup pada Selasa.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata ringgit tidak banyak mencatatkan perubahan hari ini berikutan situasi itu telah diredakan oleh pemulihan harga minyak selepas kemerosotan empat hari berturut-turut.

Setakat ini, harga penanda aras minyak mentah Brent menokok 1.07 peratus kepada AS$69.77 setong.

"Bagaimanapun, pelabur terus bimbang terhadap permintaan bahan api berikutan virus ini terus menular dan masih risau mengenai unjuran permintaan bahan api dalam keadaan lonjakan kes COVID-19 di seluruh dunia," katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan melaporkan 22,242 kes baharu COVID-19 hari ini, angka harian tertinggi sejak pandemik melanda negara tahun lalu, menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 1,466,512.

Sewaktu ditutup, unit tempatan turut diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1142/1176 daripada 3.1182/1192 sewaktu ditutup pada Selasa dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.8619/8659 daripada 3.8768/8778.

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.8223/8278 daripada 5.8462/8476 dan naik berbanding euro kepada 4.9617/9664 daripada 4.9874/9885. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini