Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis dipengaruhi oleh sentimen daripada pengumuman minit mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS (Fed), ditambah dengan penurunan harga minyak mentah, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2355/2400 berbanding dolar AS daripada penutup 4.2350/2390 pada Rabu.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata ringgit susut berbanding dolar AS di tengah-tengah kebimbangan bayangan pengurangan program pembelian aset Fed AS yang lebih awal daripada dijangkakan daripada minit mesyuarat terbaharu Fed.

"Meskipun pegawai Fed AS agak berbeza pendapat mengenai langkah normalisasi dasar monetari, hakikat bahawa ada perbincangan mengenainya bermakna bahawa program pengurangan pembelian aset semakin hampir, menyebabkan dolar mengukuh berbanding ringgit," katanya kepada Bernama.

Adam berkata, penurunan ringgit itu juga seiring dengan kejatuhan harga minyak mentah Brent, berikutan kebimbangan permintaan lemah ekoran peningkatan semula kes COVID-19 di seluruh dunia dan peningkatan mengejut inventori petrol AS.

Hari ini, harga penanda aras minyak mentah Brent turun sebanyak 2.90 peratus kepada AS$66.25 setong.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan sebanyak 22,948 kes baharu COVID-19 sejak 24 jam lalu, angka jangkitan harian tertinggi setakat ini yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,489,460 kes sehingga ini.

Pada penutup dagangan, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1061/1099 daripada 3.1142/1176 pada Rabu dan naik berbanding yen kepada 3.8617/8661 daripada 3.8619/8659 sebelumnya.

Unit tempatan menokok berbanding pound kepada 5.7984/8046 daripada 5.8223/8278 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.9534/9587 daripada 4.9617/9664.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini