Ringgit terus merosot - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus merosot


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini sejajar dengan prestasi kebanyakan mata wang negara sedang pesat membangun lain apabila pelabur beralih kepada mata wang selamat, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2380/2420 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.2270/2300 pada Isnin.

Pasaran ditutup pada Selasa sempena cuti umum menyambut Awal Muharram.

Seorang peniaga berkata, terdapat kebimbangan dalam kalangan pelabur selepas data pekerjaan AS yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan kenaikan gaji yang kukuh, membayangkan dasar monetari yang ketat.

"Kebimbangan peningkatan kes COVID-19 tempatan terus memberikan sentimen negatif kepada pasaran.

"Bagaimanapun, kekukuhan harga penanda aras minyak mentah Brent yang berada di atas paras AS$70 setong telah mengekang unit tempatan daripada terus jatuh," katanya kepada Bernama.

Hari ini, minyak mentah Brent meningkat 0.3 peratus kepada AS$70.84 setong.

Kementerian Kesihatan melaporkan 20,780 kes COVID-19 baharu pada Rabu, angka harian kedua tertinggi yang dicatatkan negara selepas mencatatkan 20,889 kes pada 6 Ogos dan menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 1,320,547 kes setakat ini.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8253/8292 daripada 3.8382/8413 pada Isnin dan naik berbanding euro kepada 4.9623/9670 daripada 4.9718/9753.

Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1159/1191 daripada 3.1179/1206 dan melonjak berbanding pound Britain kepada 5.8539/8595 daripada 5.8717/8759 sebelumnya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini