Harga minyak dunia terus melonjak - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak dunia terus melonjak


SINGAPURA: Harga minyak Brent melepasi AS$80 setong di tengah-tengah beberapa isyarat bahawa permintaan melebihi bekalan manakala simpanan semakin berkurangan berikutan tekanan tenaga di peringkat global.

Penanda aras minyak mentah global itu meningkat buat hari keenam berturut-turut untuk mencecah paras tertinggi sejak Oktober 2019, manakala West Texas Intermediate (WTI) melanjutkan kenaikannya.

Kenaikan terbaharu harga minyak berlaku di tengah-tengah unjuran lebih memberangsangkan yang dibuat oleh bank dan peniaga, peningkatan gas asli dan spekulasi bahawa industri tenaga tidak melakukan pelaburan mencukupi dalam bahan api fosil untuk mengekalkan bekalan pada paras semasa.

Harga minyak melonjak tahun ini apabila pelaksanaan vaksin untuk memerangi pandemik, meningkatkan permintaan terhadap tenaga, sekali gus menyebabkan penurunan inventori di Amerika Syarikat (AS).

Kenaikan mendadak gas asli meningkatkan jangkaan bahawa minyak mentah akan mendapat manfaat daripada limpahan permintaan ketika pengguna mencari alternatif.

Trafigura Group, salah satu firma dagangan komoditi terbesar dunia adalah antara yang mengunjurkan harga minyak akan lebih tinggi.

"Kelihatannya rali minyak masih ada ruang untuk berterusan," kata ketua ahli strategi JTD Energy Services Pte, John Driscoll.

"Asasnya masih lagi meyakinkan, permintaan mulai pulih. Saya tidak melihat sebarang tanda bahawa rali itu sudah berakhir."

Walaupun permintaan di seluruh dunia meningkat, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pakatannya termasuk Russia melonggarkan sekatan bekalan dengan begitu berhati-hati.

OPEC akan mengeluarkan laporan Tinjauan Minyak Dunia, yang akan memperincikan pandangan kumpulan pengeluar minyak itu terhadap asas pasaran.

Penggunaan minyak global dijangka kembali ke paras sebelum pandemik pada suku ketiga 2022, demikian menurut BP Plc.

Permintaan dijangka mencatatkan purata kenaikan 3.8 juta tong sehari, kata Presiden BP Singapore, Eugene Leong dalam satu temubual.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini