Ringgit ditutup lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit mengekalkan posisi yang lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari ini selepas dolar mula melemah susulan krisis Evergrande Group China.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu naik kepada 4.1835/1850 daripada 4.1905/1950 yang direkodkan semalam.

Menurut seorang peniaga, kebimbangan mengenai perkembangan dalam sektor harta tanah China telah meningkatkan ketegangan menjelang keputusan pengurangan aset Rizab Persekutuan (Fed) AS.

S&P Global Ratings melaporkan bahawa syarikat China itu sedang di ambang kegagalan.

Bagaimanapun, bank seperti Barclays PLC, UBS Group AG dan Citi percaya bahawa risiko Evergrande bukanlah menyamai 'saat-saat Lehman'.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu berita itu datang apabila pembayaran faedah Evergrande ke atas bonnya akan sampai tempoh menjelang Khamis ini.

"Maknanya, pasaran tukaran asing akan berada dalam mod defensif kerana ia juga perlu berhadapan dengan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), berkenaan dengan keputusan pengurangan aset dalam pertemuan dua hari mereka," katanya kepada Bernama.

Pada penutupan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menokok berbanding pound British kepada 5.7272/7293 daripada 5.7339/7400 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0971/0984 daripada 3.0979/1017.

Mata wang itu turut mengukuh berbanding yen kepada 3.8181/8198 daripada 3.8200/8241 tetapi jatuh kepada 4.9102/9119 berbanding euro daripada 4.9079/9132.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini