Ringgit ditutup lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas wujud kejelasan mengenai pelan pengurangan aset Rizab Persekutuan (Fed) AS dan jaminan Evergrande yang merangsang sentimen di pasaran.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu naik kepada 4.1800/1825 daripada 4.1910/1950 yang dicatatkan pada penutup semalam.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kejelasan itu mencerminkan kemungkinan pengurangan aset AS akan berlaku dalam tahun ini.

"Plot titik baru-baru ini juga menunjukkan bahawa kadar faedah AS mungkin dapat dinaikkan pada tahun depan seiring dengan peningkatan persekitaran ekonomi seperti pasaran buruh dan kadar inflasi.

"Dalam satu keadaan, naratif pemulihan ekonomi global mencerminkan kemantapan walaupun waktu kenaikan kadar faedah pertama akan menimbulkan kesan ke atas sentimen pasaran tukaran asing," katanya kepada Bernama.

Di samping itu, pihak berkuasa China tetap komited untuk memastikan bahawa beban hutang Evergrande tidak akan mengakibatkan kecelaruan kredit, katanya.

Pada penutup, ringgit didagangkan bercampur-campur dengan sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menokok kepada 4.8998/9027 berbanding euro daripada 4.9156/9203 dan mengukuh berbanding yen kepada 3.8017/8040 daripada 3.8270/8311.

Bagaiamanapun, ia melemah kepada 5.7157/7192 berbanding pound British daripada 5.7140 / 7195 yang dicatatkan semasa ditutup semalam dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1002/1025 daripada 3.0996/1028 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini