Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit merosot berbanding dolar AS sewaktu dibuka hari ini susulan keputusan positif mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) semalam, yang pada akhirnya boleh menyebabkan kenaikan kadar dasar mereka, menurut penganalisis.

Pada 9 pagi, unit tempatan itu susut kepada 4.1925/1955 daripada 4.1910/1950 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mesyuarat FOMC semalam berakhir dengan Rizab Persekutuan AS secara jelas menyatakan hasrat untuk mengurangkan program pembelian asetnya tidak lama lagi.

"Ahli FOMC berpandangan ekonomi AS telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan ke arah mencapai matlamat dua dasarnya termasuk guna tenaga yang maksimum serta kestabilan harga," katanya.

Beliau berkata Fed AS menunjukkan lebih ramai peserta menjangkakan kadar faedah yang lebih tinggi pada tahun depan, yang mana kadar dana mungkin lebih tinggi melebihi 0.25 peratus pada 2022.

"Tinjauan dalam kalangan ahli Fed AS turut seiring dengan unjuran ekonomi memandangkan ramalan Keluaran Dalam Negara Kasar AS bagi 2022 telah melonjak sehingga 3.8 peratus daripada 3.3 peratus yang diunjur pada Jun," katanya.

Mohd Afzanizam berkata unjuran kadar inflasi turut disemak menaik sehingga 2023, yang menunjukkan kitaran kenaikan kadar akan bermula pada 2022.

Oleh itu, beliau berkata dolar AS turut mengukuh berbanding mata wang utama lain, manakala ringgit kekal lemah hari ini.

Sewaktu dibuka, ringgit lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.7085/7126 daripada 5.7140/7195 sewaktu ditutup pada Rabu, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0948/0972 daripada 3.0996/1028 dan meningkat kepada 4.8998/9033 berbanding euro daripada 4.9156/9203 semalam.

Unit tempatan turut naik berbanding yen kepada 3.8162/8193 daripada 3.8270/8311 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini