Prestasi ringgit tunggu pengumuman Bajet 2022 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Prestasi ringgit tunggu pengumuman Bajet 2022


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan kerana mata wang itu menghampiri keadaan terlebih beli, kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran pasaran pertukaran mata wang asing juga akan menunggu pengumuman Bajet 2022 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini sebelum melakukan langkah seterusnya.

"Justeru, ia akan menjadi keadaan 'tunggu dan lihat' pada minggu depan," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, unit tempatan akan terus diniagakan antara paras RM4.15 hingga RM4.16 minggu depan.

Sementara itu, Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pasifik, Jeffrey Halley, berkata kebenaran kemasukan pelancong antarabangsa dijangka pada bulan depan akan meningkatkan sentimen pelabur minggu depan.

"Saya percaya pembukaan semula pelancongan antarabangsa akan terus menguasai sentimen jangka pendek ASEAN dengan banyak pengumuman yang sama sejak dua minggu lalu. Pasaran akan terus mendapat sokongan daripada ruang komoditi," katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding dolar AS kecuali pada hari Isnin kerana pembetulan teknikal tetapi mengukuh selepas itu disokong oleh harga komoditi lebih tinggi dan prospek ekonomi yang positif.

Sementara itu, bagi peringkat domestik, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan pada hari Jumaat bahawa Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun pada bulan September 2021 kepada 122.8, berbanding 120.1 pada bulan yang sama tahun lalu.

Pasaran ditutup pada Selasa bersempena cuti umum sambutan Maulidur Rasul.

Berasaskan mingguan, ringgit meningkat 70 mata asas kepada 4.1490/1520 berbanding dolar AS pada Jumaat daripada 4.1560/1590 minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain, berbanding Jumaat lalu.

Ia merosot berbanding euro kepada 4.8307/8342 daripada 4.8222/8257 seminggu sebelumnya dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.6436/6466 daripada 3.6341/6368.

Ringgit juga berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.0825/0849 daripada 3.0824/0849 seminggu sebelumnya dan turun berbanding pound Britain kepada 5.7269/7310 daripada 5.7049/7091 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini