Ringgit ditutup lebih kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih kukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi dan konstruktif berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kenaikan harga komoditi serta pembukaan semula ekonomi secara berperingkat yang boleh diterjemahkan kepada prospek ekonomi yang lebih baik.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1580/1615 berbanding dolar AS daripada 4.1690/1700 sewaktu ditutup pada Isnin.

Pasaran ditutup semalam bersempena cuti umum sambutan Maulidur Rasul.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pelabur akan menumpukan kepada sasaran makroekonomi utama dalam Bajet 2022.

"Sasaran defisit dijangka lebih kecil berikutan kerajaan kekal komited untuk mengekalkan defisit pada paras yang munasabah bagi mendorong pertumbuhan di samping bertanggungjawab memastikan kekurangan fiskal dapat dibendung," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, beliau berkata ringgit dijangka kekal dalam jajaran kecil dalam masa terdekat.

Dari sudut teknikal, Mohd Afzanizam berkata unit tempatan hampir mencapai keadaan terlebih beli, justeru, pembetulan teknikal adalah dijangkakan, berikutan peningkatan mendadak ringgit baru-baru ini.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali berbanding yen yang meningkat kepada 3.6327/6361 hari ini daripada 3.6449/6461 sewaktu ditutup pada Isnin.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0919/0947 daripada 3.0875/0884, susut berbanding pound Britain kepada 5.7260/7308 daripada 5.7245/7258, dan merosot berbanding euro kepada 4.8328/8369 daripada 4.8285/8297.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini