Prestasi kukuh komoditi dorong kenaikan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Prestasi kukuh komoditi dorong kenaikan ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi pada Khamis, disokong sentimen yang positif berikutan prestasi kukuh komoditi.

Minyak mentah Brent pada masa ini didagangkan pada AS$86 setong, manakala minyak sawit mentah ditutup kepada paras tertinggi pada Rabu dengan kontrak penanda aras minyak sawit bagi Januari 2022 meningkat RM127 kepada RM5,071 satu tan.

Pada 9.04 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1530/1565 berbanding dolar AS daripada 4.1580/1615 sewaktu ditutup pada Rabu.

Menurut peniaga, unit tempatan meraih momentum pada masa ini di sebalik pengukuhan dolar AS menjelang proses pengurangan Rizab Persekutuan (Fed) yang bermula bulan depan.

Beliau berkata, pelabur berhati-hati menantikan indeks harga pengguna yang akan dikeluarkan esok.

"Bagaimanapun, Bajet 2022 dijadual dibentangkan tidak lama lagi untuk merangsang aktiviti ekonomi negara dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi mesra perniagaan, yang memberi impak baik kepada ringgit," katanya.

Pada Rabu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Bajet 2022 menjadi cerminan tekad kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dan mengembalikan keyakinan pelabur asing.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama sewaktu dibuka hari ini, kecuali berbanding yen yang meningkat kepada 3.6321/6355 daripada 3.6327/6361 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0928/0959 daripada 3.0919/0947 sewaktu ditutup semalam, turun berbanding pound Britain kepada 5.7419/7468 daripada 5.7260/7308, dan jatuh berbanding euro kepada 4.8407/8448 daripada 4.8328/8369 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini