Dagangan ringgit berakhir rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit berakhir rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, berikutan Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin meningkatkan kadar faedah lebih awal berbanding jangkaan, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.1795/1810 berbanding dolar AS daripada 4.1645/1680 ketika penutupan pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks dolar AS (DXY) melonjak kepada 96.183 mata sebelum kembali kepada 95 mata hari ini.

"Jualan runcit AS yang dikeluarkan malam semalam, mencatatkan prestasi lebih tinggi berbanding jangkaan, meningkatkan keyakinan bahawa Fed mungkin mahu menaikkan kadar dasarnya lebih awal untuk kekal mendahului keluk berkenaan.

"Sebilangan pegawai Fed akan membuat kenyataan malam ini dan ia sekali gus boleh memberikan lebih banyak petunjuk mengenai hala tuju Fed berkaitan kadar faedahnya pada masa depan," katanya kepada Bernama.

Selain itu, sidang kemuncak secara maya antara Presiden AS, Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping dilihat akan memberikan sedikit harapan bahawa kemelut antara kedua-dua ua negara itu boleh diredakan lagi, sekali gus mewujudkan keadaan minat risiko.

Mohd Afzanizam bagaimanapun berkata buat masa ini, isu berkaitan kadar inflasi yang lebih tinggi dan tindakan dasar seterusnya oleh Fed menjadi tumpuan banyak pihak.

"Pasangan dolar AS berbanding ringgit dijangka bergerak ke arah paras rintangan RM4.1862. Namun, dari sudut pandang teknikal, ringgit boleh mencapai kedudukan terlebih jual, oleh itu, kemungkinan terdapat minat belian susulan pandangan konstruktif terhadap ekonomi Malaysia," katanya.

Beliau berkata buat masa ini, mata wang tempatan dijangka bergerak di antara 4.16 dengan 4.17 bagi setiap dolar AS.

Sementara itu, bagi dagangan Rabu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Unit tempatan kukuh berbanding yen kepada 3.6394/6410 daripada 3.6464/6497 ketika ditutup pada Selasa dan meningkat berbanding euro kepada 4.7274/7291 daripada 4.7313/7353.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.6127/6147 daripada 5.6050/6097 semalam dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0772/0788 daripada 3.0755/0783.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini