Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit mengalami penyusutan seterusnya untuk dibuka rendah berbanding dolar AS pada Rabu, susulan mata wang negara maju itu mengekalkan kenaikan kukuh menjelang pemakluman data ekonomi Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.

Pada 9 pagi, unit tempatan susut kepada 4.1990/2015 berbanding dolar AS daripada 4.1970/2000 ketika ditutup pada Selasa.

Peniaga Active Trades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Tuntutan Pengangguran AS yang akan dikeluarkan hari ini dijangka menentukan hala tuju pergerakan dolar.

"Sekiranya bacaan ini (Tuntutan Pengangguran) lebih rendah berbanding jangkaan, ia boleh memacu aliran meningkat bagi dolar AS berbanding ringgit.

"Dari sudut pandangan teknikal, memandangkan dolar AS kepada ringgit baru mula untuk melepasi paras rintangan pada RM4.1900, laluan untuk melonjak kepada RM4.2400 adalah jelas," katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan terdapat peluang untuk ringgit mengalami sedikit peningkatan hari ini susulan harga minyak mentah Brent kembali di atas paras US$80 setong.

Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa susut 0.12 peratus kepada AS$82.21 setong.

Pada awal dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0728/0753 daripada 3.0734/0758 ketika ditutup pada Selasa dan stabil berbanding euro kepada 4.7201/7229 daripada 4.7258/7292.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6145/6178 daripada 5.6147/6188 semalam dan kukuh berbanding yen kepada 3.6450/6475 daripada 3.6569/6598.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini