Ringgit ditutup lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, didagangkan dalam jajaran yang ketat kerana data menunjukkan inflasi sebagai faktor risiko utama untuk prospek ekonomi.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berkurangan berbanding dolar AS pada 4.1525/1545 berbanding 4.1505/1513 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Harga Pengeluar (IHP) China yang lebih tinggi yang meningkat 13.5 peratus pada Oktober menunjukkan bahawa People's Bank of China (PBoC) mempunyai ruang terhad untuk menyokong ekonomi dalam persekitaran kebimbangan berterusan terhadap industri hartanah.

Pada masa yang sama, IHP yang meningkat sebanyak 8.6 peratus di Amerika Syarikat (AS) bermakna Rizab Persekutuan (Fed) berada di landasan yang betul untuk menghapuskan kemudahan dasar monetari.

"Persoalannya sekarang ialah mengenai bilakah kenaikan kadar faedah ini akan berlaku. Jadi, ini akan menjadi ketidaktentuan utama yang boleh menjejaskan sentimen dalam pasaran pertukaran wang asing," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, adalah selamat untuk mengatakan bahawa dolar AS akan disokong dengan baik berdasarkan kemungkinan kenaikan kadar dana Fed akan berlaku.

Tumpuan utama sekarang adalah terhadap pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2021 pada Jumaat ini.

"Kami mengunjurkan bahawa KDNK akan menguncup sebanyak 3.3 peratus memandangkan sekatan mobiliti yang dikenakan terutama bagi negeri-negeri utama seperti Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang kekal pada fasa satu sehingga pertengahan September.

"Kami percaya bahawa keadaan sedemikian mungkin menjadi sebab utama untuk Bank Negara Malaysia (BNM) kekal berhati-hati pada mesyuarat mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) baru-baru ini," katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama yang lain kecuali yen Jepun yang merosot kepada 3.6683/6704 daripada 3.6677/6694 sebelumnya.

Unit tempatan naik berbanding pound British kepada 5.6208/6235 daripada 5.6326/6332 ketika ditutup pada Selasa, bertambah berbanding dolar Singapura 3.0816/0833 daripada 3.0849/0852 dan meningkat berbanding euro kepada 4.8078/8101 daripada 4.8112/8133.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini