Ringgit mulakan dagangan dengan kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mulakan dagangan dengan kukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong data Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bagi September 2021.

Pada 8.15 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1490/1520 berbanding dolar AS daripada 4.1505/1513 pada penutup Selasa.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata data IPP lebih tinggi daripada jangkaan memberikan rangsangan kepada sokongan belian untuk ringgit.

IPP Malaysia meningkat sebanyak 2.5 peratus tahun ke tahun pada September 2021, disumbangkan oleh pertumbuhan 4.0 peratus indeks pembuatan dan 0.4 peratus kenaikan dalam indeks elektrik, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Selasa.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata dari asas bulan ke bulan, IPP meningkat sebanyak 3.7 peratus, dipacu oleh sektor pembuatan dan elektrik.

Sementara itu, Diniz berkata dari sudut teknikal, jika padanan AS$-RM memecah paras 4.1600, ia akan meningkat kepada 4.1930 dalam masa beberapa hari.

"Sebaliknya, jika melepasi 4.1380, ia akan terus susut sehingga 4.0950," katanya kepada Bernama.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nota tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6252/6293 daripada 5.6326/6332 pada penutup Selasa dan menokok berbanding dolar Singapura pada 3.0797/0822 daripada 3.0849/0852.

Ia turut meningkat berbanding euro kepada 4.8099/8134 daripada 4.8112/8133 semalam, namun jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.6769/6799 berbanding 3.6677/6694 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini