Ringgit ditutup rendah seiring prestasi mata wang serantau - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah seiring prestasi mata wang serantau


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), seiring dengan prestasi mata wang serantau yang lain, kata seorang ahli ekonomi.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut berbanding dolar AS pada 4.1690/1720 daripada 4.1525/1545 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peningkatan inflasi yang berterusan di AS kepada 6.2 peratus pada Oktober menunjukkan bahawa paras harga yang tinggi tidak semestinya fenomena sementara seperti yang dikatakan oleh Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell.

"Oleh itu, kami menjangkakan perubahan dalam taktik mereka untuk menambat jangkaan inflasi kerana petunjuk daripada pasaran tenaga kerja menyatakan bahawa rakyat AS berkemungkinan besar meningkatkan tabiat perbelanjaan mereka.

"Kedinamikan seperti itu akan melonjakkan nilai dolar AS dan ini telah dicerminkan dengan peningkatan ketara Indeks Dolar AS (DXY) yang berlegar sedikit lebih rendah daripada 95 mata," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, sehubungan itu, dolar AS kepada ringgit akan bergerak menghampiri paras halangan semasa RM4.1862.

Bagaimanapun, dari sudut pandangan teknikal, unit tempatan itu menjurus ke arah terlebih jual berbanding dolar AS.

"Mungkin, sebaik sahaja pasaran dapat menyerap sepenuhnya kesan inflasi yang tinggi terhadap dasar monetari, permintaan terhadap ringgit seharusnya meningkat. Namun buat masa ini, ringgit akan (terus) bergerak ke arah yang lebih lemah," katanya.

Pada penutup, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6545/6574 daripada 3.6683/6704 sebelum itu dan naik berbanding pound British kepada 5.5835/5876 daripada 5.6208/6235 ketika ditutup pada Rabu.

Unit tempatan itu juga meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.0754/0781 daripada 3.0816/0833 dan bertambah berbanding euro pada 4.7798/7832 daripada 4.8078/8101.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini