Dagangan ringgit dibuka rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit dibuka rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan minat belian yang lebih baik terhadap dolar AS.

Pada 9.06 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.1600/1630 berbanding dolar AS daripada 4.1525/1545 sewaktu ditutup semalam.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata data inflasi Amerika Syarikat (AS) (seperti yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna) adalah lebih tinggi pada 4.6 peratus berbanding ramalan 4.3 peratus, sekali gus menjadi pemangkin utama dalam pergerakan menaik dolar AS-ringgit.

Beliau berkata, inflasi tahunan pada 4.6 peratus di AS merupakan yang tertinggi dalam tempoh 30 tahun berikutan sejumlah besar wang yang diperuntukkan dalam pasaran kewangan sebagai langkah rangsangan bagi memerangi pandemik.

"Malah, dasar menurunkan kadar faedah rendah yang diamalkan oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) sejak pandemik bermula menyebabkan situasi itu menjadi lebih buruk.

"Melalui bacaan inflasi sedemikian, pasaran mengambil maklum bahawa Fed dijangka menaikkan kadar faedah lebih awal daripada dijangka pada 2023," katanya kepada Bernama.

Dari sudut teknikal, sekiranya ringgit-dolar AS melepasi paras 4.1600, ia mampu mencapai 4.1900 dalam masa beberapa hari lagi, kata Diniz.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6469/6495 daaripada 3.6683/6704 pada Rabu dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0726/0750 daripada 3.0816/0833 sebelum ini.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5744/5784 daripada 5.6208/6235 sewaktu ditutup semalam dan menokok berbanding euro kepada 4.7732/7766 daripada 4.8078/8101.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini