Ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit ditutup tinggi

 



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, didorong oleh sokongan belian yang lebih baik bagi mata wang tempatan, sekali gus menjejaki prestasi mata wang negara pesat membangun lain susulan data ekonomi China yang lebih positif berbanding jangkaan, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.1600/1630 berbanding dolar AS daripada 4.1645/1665 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.

Menurut laporan, Indeks Pengeluaran Perindustrian China naik 3.5 peratus tahun ke tahun pada Oktober, mengatasi bacaan pada September, manakala pertumbuhan jualan runcit meningkat kepada 4.9 peratus berbanding unjuran ahli-ahli ekonomi.

"Justeru, data ekonomi yang positif mengenai eksport China merupakan faktor menggalakkan bagi ringgit memandangkan ia juga akan memberi manfaat kepada pengekport Malaysia," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data penting yang perlu diteliti adalah prestasi Jualan Runcit AS yang akan diumumkan pada Selasa.

"Sekiranya data itu lebih baik berbanding jangkaan, ia akan mendorong kenaikan dolar AS memandangkan ia akan meningkatkan jangkaan bahawa kadar faedah Rizab Persekutuan juga lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.7620/7654 daripada 4.7646/7669 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu dan susut berbanding yen kepada 3.6543/6569 daripada 3.6521/6550.

Ringgit rendah berbanding pound Britain kepada 5.5794/5834 daripada 5.5783/5810 dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0790/0814 daripada 3.0757/0776



Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini