Kebimbangan terhadap Omicron reda, ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Kebimbangan terhadap Omicron reda, ringgit ditutup tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan peningkatan awal dengan ditutup tinggi hari ini, didorong sentimen risiko yang lebih baik berikutan kebimbangan terhadap Omicron yang mereda.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.1935/1980 berbanding dolar AS daripada 4.1980/2020 sewaktu ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pengukuhan mata wang tempatan didorong oleh laporan bahawa varian Omicron mungkin kurang berbahaya berbanding varian Delta.

"Berita sedemikian menunjukkan bahawa pembukaan semula ekonomi akan terus berkembang dengan baik, menghasilkan aktiviti ekonomi yang lebih giat. Pada tahap tertentu, ia juga akan mendorong senario kepada kadar faedah tinggi pada tahun depan," katanya kepada Bernama.

Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) melaporkan risiko kemasukan ke hospital bagi individu yang dijangkiti varian Omicron adalah antara 50 peratus dan 70 peratus lebih rendah berbanding varian Delta.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6660/6702 daripada 3.6721/6760 pada Khamis dan mengukuh berbanding pound Britain kepada to 5.6226/6287 daripada 5.6257/6311.

Unit tempatan bagaimanapun merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0887/0954 daripada 3.0874/0908 semalam dan lemah berbanding euro kepada 4.7567/7618 daripada 4.7521/7567 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini