Ringgit diunjur dalam jajaran RM4.1650-RM4.1750 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit diunjur dalam jajaran RM4.1650-RM4.1750


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengalami pembetulan teknikal pada hari-hari akan datang, diunjur diniagakan dalam jajaran 4.1650 hingga 4.1750 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sejajar dengan peningkatan ketika ini, terdapat kemungkinan ringgit mengalami beberapa pembetulan teknikal dalam aktiviti pengambilan untung.

Bagi minggu-minggu yang akan datang, pelabur dijangka menumpukan kepada beberapa data ekonomi dari AS seperti angka Indeks Pengurusan Pembelian (PMI), kadar pengangguran AS dan angka Senarai Gaji Bukan Ladang bagi Disember untuk mencari petunjuk hala tuju pasaran.

"Bagaimanapun, kami tetap positif terhadap ringgit berbanding dolar AS dengan sasaran akhir tahun bagi 2022 pada RM4.09. Kemungkinan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tinggi serta harga komoditi mungkin membantu menambah baik nilai ringgit pada masa depan," katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, ringgit diniagakan tinggi kecuali pada Rabu apabila ia mencatatkan pengambilan untung, dipengaruhi terutama oleh aktiviti akaun menghala ke hujung tahun selain pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan penularan varian baharu COVID-9, Omicron.

Unit tempatan ditutup tinggi minggu ini berbanding dolar AS kepada 4.1650/1680 pada Jumaat berbanding 4.1935/1980 pada minggu sebelumnya.

Bagi asas tahun ke tahun, Mohd Afzanizam berkata ringgit turun 3.59 peratus pada sesi penutup Jumaat, hari terakhir dagangan bagi tahun 2021 berbanding 4.0203/0250 yang dicatatkan pada 31 Disember 2020.

Beliau berkata, ringgit bergerak tidak menentu berbanding dolar AS sepanjang tahun ini daripada paras serendah 4.005 pada permulaan tahun kepada setinggi 4.24 semasa separuh kedua.

Sementara itu, unit tempatan juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain pada Jumaat.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0872/0899 daripada 3.0887/0954 pada Jumaat minggu sebelumnya, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6186/6212 daripada 3.6660/6702 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7194/7228 daripada 4.7567/7618.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding pound Britain kepada 5.6277/6318 berbanding 5.6226/6287pada Jumaat minggu sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini