Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan sokongan belian yang lebih baik untuk dolar ketika pelabur mula melarikan fokus mereka kepada beberapa mesyuarat dasar bank pusat yang dijangka diadakan minggu ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.2275/2295 berbanding paras penutup 4.2100/2150 yang dicatatkan semasa ditutup Jumaat lalu.

Pelabur sedang menunggu hasil mesyuarat dasar beberapa bank pusat berprofil tinggi dalam minggu ini seperti Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Bank of Japan, Bank of England dan Bank Pusat Eropah.

"Keputusan dasar Rizab Persekutuan akan dipantau teliti kerana ia dijangka menandakan penorehan pembelian asetnya yang lebih cepat dan permulaan awal kepada kenaikan kadar faedah apabila ekonomi kekal teguh, dengan angka pekerjaan yang mantap serta inflasi yang tinggi.

"Kadar inflasi tahunan AS berada pada 6.8 peratus menjelang November, melonjak kepada tahap tertinggi sejak 1982," kata seorang penganalisis.

Sementara itu, kerugian ringgit telah dihadkan oleh data Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia yang lebih baik bagi Oktober.

Menurut AmBank Research, IPI telah mula menokok pada Oktober, mencatat pertumbuhan 5.5 peratus dari tahun ke tahun, jauh lebih tinggi daripada kenaikan 2.5 peratus tahun ke tahun yang direkodkan semasa bulan sebelumnya.

Perdagangan pengedaran juga berkembang selepas merosot selama empat bulan, berkembang pada 5.4 peratus dari tahun ke tahun berbanding penguncupan 2.6 peratus pada September.

Ini memang dijangka selepas kadar vaksinasi yang meluas akan menyebabkan ekonomi dibuka, membolehkan sektor ekonomi berfungsi dengan baik dalam normal baharu.

"Ditambah dengan permintaan yang meningkat, harga komoditi yang tinggi dan eksport yang kukuh, ekonomi akan terus berkembang dengan mantap.

"Model dalaman kami menunjukkan bahawa ekonomi akan berkembang sebanyak 2.9 peratus dari tahun ke tahun menjelang suku akhir 2021 dan 3.5 peratus tahun ke tahun untuk setahun penuh," katanya.

Sementara itu, ringgit juga ditutup lemah berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan itu menyusut berbanding euro kepada 4.7640/7662 daripada 4.7497/7554 dan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0907/0924 daripada 3.0815/0854.

Ia menurun berbanding yen Jepun kepada 3.7178/7199 daripada 3.7034/7081 dan merosot berbanding pound British kepada 5.5993/6020 daripada 5.5576/5642 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini