Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa dengan unit negara maju itu terus mengukuh menjelang mesyuarat terakhir Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bagi tahun ini, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit susut kepada 4.2290/2330 berbanding dolar AS daripada 4.2275/2295 pada akhir urus niaga Isnin.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid, dolar AS terus mengukuh berbanding mata wang utama lain yang dibuktikan menerusi kenaikan mendadak indeks dolar AS (DXY) dengan mencecah lebih daripada 96 mata.

"Perkembangan membabitkan kematian pertama berkaitan Omicron di United Kingdom juga memaparkan bahawa risiko penurunan masih terus ada. Ini hanya meningkatkan lagi sentimen penurunan dan mendorong peningkatan permintaan terhadap dolar AS," katanya.

Beliau berkata Bank of Canada juga telah mengumumkan kajian semula dasar monetari dengan mengekalkan sasaran inflasi pada 2.0 peratus dan terus komited untuk mengekalkan kadar faedah penanda aras pada tahap rendah bagi menyokong pemulihan ekonomi.

"Oleh itu, secara menyeluruh, pihak Rizab Persekutuan AS jelas lebih menonjol dari segi langkah atau usaha memperketat dasar monetari (yang membantu pengukuhan dolar AS)," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Afzanizam berkata dolar AS akan menyaksikan peningkatan permintaan dan ringgit sebaliknya dijangkakan kekal rendah sekitar RM4.22 hingga RM4.23 hari ini.

Dalam pada itu, pada awal hari ini, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0900/0932 daripada 3.0907/0924 semalam dan naik berbanding pound Britain kepada 5.5844/5897 daripada 5.5993/6020 semalam.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.7690/7736 daripada 4.7640/7662 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7214/7252 daripada 3.7178/7199, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini