Ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, di tengah-tengah kekurangan pemangkin tempatan untuk melonjakkan mata wang tempatan itu, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.2320/2330 berbanding dolar AS daripada 4.2310/2340 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata, sentimen tempatan juga terjejas dengan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menunjukkan peningkatan kes jangkitan harian COVID-19 selepas beberapa hari mencatat penurunan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit dilihat mengukuh berbanding dolar AS kepada RM4.2277, namun susut sehingga RM4.2352 semalam, sementara Indeks Dolar AS (DXY) kekal kukuh melebihi 96 mata.

"People's Bank of China memutuskan untuk mengurangkan Nisbah Rizab Perlu (RRR) sebanyak 50 mata asas, menunjukkan bahawa laluan untuk normalisasi dasar monetari akan menjadi tidak sekata dengan Rizab Persekutuan AS dijangka menerajui kumpulan berkenaan.

"Ini akan memberi rangsangan kepada dolar AS di tengah-tengah kebimbangan mengenai penularan varian membimbangkan (VOC) baharu, yang akan meningkatkan daya tarikan mata wang selamat seperti dolar AS," katanya.

Justeru, katanya, ringgit dijangka diniagakan dalam julat ketat sekitar RM4.22 hingga RM4.23 dengan RM4.245 sebagai paras rintangan serta-merta.

Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0974/0986 daripada 3.0899/0925 pada ketika ditutup pada Isnin dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7221/7230 daripada 3.7363/7393.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.7699/7710 daripada 4.7810/7844 kelmarin tetapi melemah berbanding pound British kepada 5.6133/6147 daripada 5.6095/6134 pada penutup Isnin.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini