Dagangan ringgit berakhir lebih kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit berakhir lebih kukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit mengatasi penyusutan awalnya apabila ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih mengukuh pada Jumaat, disokong oleh prestasi pasaran ekuiti tempatan yang positif.

Malah, ringgit turut mendapat sokongan baik pada paras semasa berikutan pengukuhan harga minyak mentah Brent yang ketika ini sekitar AS$90 setong susulan ketegangan membabitkan Russia-Ukraine, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu berada pada 4.1880/1915 berbanding dolar AS daripada 4.1935/1980 ketika ditutup pada Khamis.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata pengukuhan dolar AS yang lebih ketara itu kekal menjadi sokongan walaupun Rizab Persekutuan AS tidak bertindak menaikkan kadar faedah dan menjelaskan bahawa inflasi di negara maju itu melebihi sasaran.

Sehubungan itu, ia berkemungkinan bertindak menaikkan kadar faedah bila-bila masa selepas mesyuarat seterusnya dalam usaha membendung inflasi.

"Dalam pada itu, Malaysia pula terbukti menangani varian baharu COVID-19 dengan lebih baik berikutan purata jumlah kematian yang dicatatkan berada pada tahap terendah sejak April 2021 yang dilihat positif oleh pasaran.

"Data imbangan dagangan yang dikeluarkan hari ini juga menyuntik lebih banyak kekuatan untuk ringgit dalam jangka pendek," katanya kepada Bernama.

Perdagangan luar Malaysia mencatatkan satu lagi prestasi bersejarah pada 2021 apabila buat pertama kalinya melepasi paras RM2 trilion selain merekodkan pertumbuhan terpantas sejak 1994.

Sementara itu, unit tempatan itu turut diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.6621/6660 daripada 4.6946/6997 pada Khamis dan meningkat berbanding pound kepada 5.6031/6078 daripada 5.6306/6367 semalam.

Unit tempatan itu juga mengukuh berbanding yen kepada 3.6222/6252 daripada 3.6462/6501 semalam dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0860/0890 daripada 3.1040/1076 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini