Dagangan ringgit ditutup tidak berubah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit ditutup tidak berubah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila pelabur kekal tidak memasuki pasaran sementara menunggu keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (AS) (FOMC), kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu berada pada 4.1890/1915 berbanding dolar AS daripada 4.1890/1905 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, memberitahu Bernama petunjuk membayangkan bahawa ringgit berada dalam zon neutral, menandakan ketidaktentuan pasaran.

Menurutnya, pelabur memantau dengan rapat mesyuarat FOMC yang akan berakhir malam ini, terutama berkaitan dengan pendirian terhadap prospek kenaikan kadar faedah.

Beliau juga menyatakan keluk hasil AS turut mendatar, dengan julat hasil Perdaharaan AS antara 10 tahun dan tiga bulan jatuh kepada 160 mata asas daripada paras tinggi 175 mata asas yang dicatatkan pada Januari 2018.

"Jelas sekali keluk hasil AS bertindak balas terhadap sentimen pasaran berhubung kemungkinan kenaikan Kadar Dana Persekutuan. Oleh itu, ringgit dijangka diniagakan dalam julat yang kecil dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ringgit turun berbanding euro kepada 4.7281/7309 daripada 4.7277/7294 ketika ditutup pada Selasa dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.6567/6610 daripada 5.6464/6484.

Bagaimanapun, ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6710/6735 daripada 3.6723/6739 dan melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.1152/1173 daripada 3.1168/1184.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini