Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit mencatat peningkatan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan Isnin susulan pengumuman data ekonomi negara maju itu pada minggu lalu yang kurang memberangsangkan, biarpun harga minyak mentah merosot, kata peniaga.

Pada 9.07 pagi ini, ringgit disebut harga pada paras 4.2000/2030 berbanding dolar AS daripada 4.2070/2080 pada akhir urus niaga Jumaat lalu.

Menurut peniaga, data penggajian bukan perladangan AS menunjukkan ekonomi negara itu hanya menyaksikan pertambahan 199,000 pekerjaan pada bulan lepas dan susut berbanding 249,000 pada November 2021.

"Walaupun indeks dolar AS susut berikutan laporan pekerjaan AS pada Disember lepas, dolar AS sebaliknya berkemungkinan tidak mengalami kesan berbanding ringgit pada minggu ini dan dijangka diniagakan pada paras 4.21 berikutan kebimbangan terhadap varian Omicron," katanya.

Beliau berkata, ringgit juga berkemungkinan menyaksikan satu lagi pusingan jualan sekiranya kadar inflasi AS kembali melonjak dan disusuli dengan tindakan Rizab Persekutuan AS melaksanakan normalisasi dasar dengan lebih awal.

Sementara itu, setakat pagi ini, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, berkurangan 0.37 peratus kepada AS$81.45 setong.

Pada sesi awal pagi ini, ringgit diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0983/1007 daripada 3.0958/0981 pada akhir Jumaat lepas dan rendah berbanding yen pada 3.6342/6371 daripada 3.6320/6336.

Ringgit juga susut berbanding pound Britain kepada 5.7091/7131 daripada 5.6999/7037 pada Jumaat lepas dan rendah berbanding euro kepada 4.7691/7725 daripada 4.7602/7640.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini