Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS hari ini apabila mata wang Amerika Syarikat itu turun berikutan laporan pekerjaan Disember AS yang kurang memberangsangkan.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.1990/2020 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.2070/2080 pada Jumaat minggu lalu.

UOB Global Economics and Markets Research dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata ia menjangkakan keadaan yang lebih tidak menentu tahun ini dengan menyebut jangkaan kenaikan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan kemunculan varian baharu COVID-19 sebagai faktor risiko utama yang memburukkan lagi kemeruapan aliran modal pasaran sedang pesat membangun termasuk Malaysia.

"Ketidaktentuan daripada varian baharu COVID-19, gangguan rantaian bekalan global dan risiko kawal selia China terus membayangi prospek pertumbuhan dan inflasi," katanya.

Sementara itu, keadaan tidak menentu pasaran dijangka berterusan memandangkan risiko yang Fed AS mungkin mempercepatkan langkah menormalkan dasar monetari dengan mempercepatkan pengurangan pembelian bon, menaikkan kadar faedah dengan segera atau mengurangkan lembaran imbangan.

"Ini akan membawa kepada kekukuhan dolar AS dan keadaan monetari global yang lebih ketat yang seterusnya akan menjejaskan aliran portfolio ke negara sedang pesat membangun," katanya.

Di dalam negara, hutang awam tinggi serta ketidaktentuan dasar dan politik boleh menjejaskan prospek mata wang dan aliran modal Malaysia.

"Ringgit paling banyak menyusut dalam tempoh lima tahun ini berbanding dolar AS sebanyak 3.5 peratus kepada 4.1665 tahun lalu.

"Kami menjangka dolar terus kukuh dengan dolar AS/ringgit diunjur pada 4.30 menjelang akhir 2022," kata firma penyelidikan itu.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6302/6331 daripada 3.6320/6336 pada Jumaat minggu lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.7554/7588 daripada 4.7602/7640 sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan itu turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0987/1013 daripada 3.0958/0981 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.7018/7059 daripada 5.6999/7037.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini