Ringgit pulih, dagangan ditutup lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit pulih, dagangan ditutup lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, didorong oleh data inflasi yang stabil.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1840/1870 berbanding dolar AS daripada 4.1880/1910 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 3.2 peratus pada Disember 2021, namun lebih rendah berbanding kenaikan 3.3 peratus pada November 2021.

"Ini agak stabil (tetapi) sudah tentu lebih tinggi berbanding purata jangka panjang pada 2.4 peratus,'' katanya kepada Bernama.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kenaikan harga makanan dan bahan api mendorong peningkatan itu.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan ini melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga 2021 pada 1.9 peratus.

Beliau berkata, IHP bagi suku keempat 2021 meningkat 3.2 peratus tahun ke tahun dan 1.2 peratus berasaskan suku ke suku.

Bagi dagangan hari ini, unit domestik diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang utama.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.7434/7468 daripada 4.7521/7555 ketika ditutup pada Khamis dan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1096/1121 daripada 3.1103/1130.

Mata wang tempatan kukuh berbanding pound Britain kepada 5.6764/6805 daripada 5.7066/7107 semalam namun susut berbanding yen Jepun kepada 3.6715/6741 daripada 3.6640/6670.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini