Dagangan ringgit berakhir kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit berakhir kukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan keadaan ketegangan geopolitik yang agak mereda, manakala harga minyak mentah kekal rendah pada AS$92.83 setong, turun sebanyak 2.76 peratus.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.1850/1870 berbanding dolar AS daripada paras 4.1885/1920 pada Isnin.

"Saya fikir kebimbangan geopolitik sedikit mereda apabila tentera Rusia dilaporkan kembali semula ke pangkalan mereka. Sejajar dengan itu juga, harga minyak mentah Brent turut menyusut di bawah paras AS$95 setong manakala Indeks Dolar AS (DXY) turun sebanyak 0.36 peratus kepada 96.023 mata," kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Beliau berkata, susulan itu, ringgit menerima sokongan apabila pengelakan risiko sedikit sebanyak menurun dengan dolar AS berbanding ringgit meningkat kepada RM4.1860.

Meskipun begitu, katanya, keadaan pasaran ketika ini masih tidak menentu kerana konflik di Ukraine boleh berubah kerana pasaran ingin melihat bagaimana Amerika Syarikat akan menilai perkembangan terkini itu, katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1097/1114 daripada 3.1074/1105, turun berbanding pound Britain kepada 5.6715/6742 daripada 5.6603/6651 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.7487/7510 daripada 4.7372/7416.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding Yen Jepun kepada 3.6193/6213 daripada 3.6415/6449.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini