Ringgit dibuka lebih kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka lebih kukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka mengukuh sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa ketika mata wang negara maju itu diunjur meningkat susulan jangkaan peningkatan ketara Kadar Dana Persekutuan AS pada Mac ini, kata penganalisis.

Pada 9 pagi ini, ringgit mencatat pengukuhan kecil pada paras 4.1860/1890 berbanding dolar AS daripada 4.1885/1920 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata indeks dolar AS (DXY) meningkat sebanyak 0.22 peratus kepada 96.293 mata.

"Pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS mengekalkan pendirian yang cenderung ke arah kenaikan kadar faedah apabila berkata Fed perlu melaksanakan langkah mengetatkan dasar monetari. Ini petanda bahawa kenaikan 50 mata asas akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang," katanya kepada Bernama.

Berikutan itu, Mohd Afzanizam berkata ringgit dijangka berada dalam jajaran kecil apabila kenaikan harga minyak mentah Brent akan turut menjejaskan prestasi ringgit.

Beliau turut menjangkakan ringgit akan terus bergerak dalam lingkungan RM4.19 berbanding dolar AS hari ini.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6277/6306 daripada 3.6415/6449 pada akhir urus niaga semalam dan mengukuh kepada 4.7348/7382 berbanding euro daripada 4.7372//7416 sebelum ini.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1081/1106 daripada 3.1074/1105 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.6683/6723 daripada 5.6603/6651.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini