Minat belian pacu kenaikan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Minat belian pacu kenaikan ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan minat belian sejajar dengan prestasi positif pasaran ekuiti walaupun dolar AS masih kekal kukuh menjelang pengumuman data inflasi AS lewat minggu ini, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan naik sedikit kepada 4.1825/1850 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1835/1865 pada Selasa.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata dolar AS mendapat sedikit sokongan berbanding ringgit sebelum menyusut kembali dengan kemeruapan rendah dalam pasaran sejak kebelakangan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh ketegangan antara AS dan Russia.

Analisis asas membayangkan terdapat potensi besar Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar faedah pada mesyuarat yang akan diadakan pada Mac yang boleh membantu peningkatan dolar AS dalam tempoh sederhana dan jangka panjang, katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit kebanyakannya berlegar pada paras RM4.18 berbanding dolar AS apabila harga minyak mentah Brent mencatatkan sedikit pembetulan pada AS$90 setong.

"Penyambungan semula rundingan nuklear antara AS dan Iran pada 8 Feb telah menghidupkan semula harapan sekatan ekonomi kemungkinan akan ditarik balik pada masa depan.

"Ini mungkin memberi dorongan kepada pembetulan harga minyak mentah Brent kerana bekalan minyak akan bertambah pada masa depan," katanya.

Beliau berkata, tumpuan sekarang adalah pada Indeks Harga Pengguna Januari AS yang dijangka terus meningkat kepada 7.3 peratus tahun ke tahun pada Januari berasaskan kepada anggaran konsensus daripada 7.0 peratus pada Disember dan oleh itu, dolar AS dijangka mendapat sokongan yang baik buat masa ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1148/1169 daripada paras penutup 3.1106/1131 pada Selasa dan turun berbanding pound Britain kepada 5.6765/6799 daripada 5.6691/6731.

Ringgit jatuh berbanding euro kepada 4.7785/7814 daripada 4.7713/7747 tetapi naik berbanding yen Jepun kepada 3.6250/6275 daripada 3.6258/6284.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini