Dagangan ringgit dibuka rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Dagangan ringgit dibuka rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikutan mata wang negara maju itu memperoleh minat susulan laporan mengenai kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1840/1870 berbanding dolar AS daripada 4.1835/1865 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit sewajarnya kekal stabil hari ini memandangkan harga minyak mentah Brent diperbetulkan sedikit kepada sekitar AS$90 setong.

"Peserta pasaran mungkin menunggu data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2021 yang akan diumumkan pada Jumaat ini.

"Jangkaan kami menunjukkan KDNK bagi suku terakhir 2021 boleh berada pada pertumbuhan 3.1 peratus selepas mengalami penguncupan 4.5 peratus pada suku sebelumnya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata. kemungkinan peningkatan ringgit adalah sesuatu yang dijangkakan memandangkan kerajaan juga tidak mustahil akan mengumumkan pembukaan seterusnya bagi sempadan antarabangsa seawal Mac.

Mohd Afzanizam berkata, justeru jika itu berlaku, ekonomi Malaysia diunjurkan menjadi lebih rancak kerana industri pelancongan menyumbang kira-kira 12.5 peratus kepada KDNK pada 2019, setahun sebelum ekonomi global dilanda kesan pandemik COVID-19.

"Seterusnya, kadar dasar semalaman yang lebih tinggi juga satu kemungkinan, kerana ia boleh membantu meningkatkan nilai ringgit memandangkan perbezaan kadar faedah dengan negara maju kekal memihak kepada kita," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, ringgit dijangka diniagakan pada paras 4.18.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1105/1130 daripada 3.1106/1131 ketika ditutup pada Selasa dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.6222/6251 daripada 3.6258/6284.

Ringgit juga stabil berbanding pound British kepada 5.6664/6705 daripada 5.6691/6731 ketika penutupan semalam namun susut berbanding euro kepada 4.7752/7786 daripada 4.7713/7747.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini