Prestasi ringgit terjejas - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Prestasi ringgit terjejas


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila mata wang utama itu terus mengukuh susulan data ekonomi AS yang positif, demikian menurut seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan menyusut kepada 4.1835/1850 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1805/1810 pada Jumaat minggu lalu.

Penganalisis itu berkata ekonomi AS menambah lebih banyak pekerjaan berbanding jangkaan pada Januari, menunjukkan aktiviti pengambilan kerja kekal kukuh meskipun penularan varian Omicron COVID-19.

Senarai gaji bukan ladang yang dikeluarkan pada Jumaat meningkat sebanyak 467,000 pada Januari berbanding unjuran 125,000.

"Pewujudan peluang pekerjaan AS yang lebih baik dari jangkaan pada Januari mencerminkan pengukuhan pasaran buruh dan spekulasi kenaikan kadar Rizab Persekutuan pada Mac untuk menangani peningkatan inflasi. Kenaikan kadar faedah akan menyokong dolar AS," katanya.

Hong Leong Bank Bhd dalam nota penyelidikannya hari ini berkata peniaga kini menunggu keputusan keluaran dalam negara kasar suku keempat Malaysia yang dijadual diumumkan pada Jumaat bagi mencari hala tuju pasaran.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1102/1115 daripada paras penutup 3.1096/1102 pada Jumaat dan hampir tidak berubah berbanding yen Jepun pada 3.6369/6385 daripada 3.6365/6372.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6536/6556 daripada 5.6721/6728 pada Jumaat dan naik berbanding euro kepada 4.7780/7797 daripada 4.7929/7935 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini