Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Isnin ketika pasaran terus dipengaruhi oleh konflik di Ukraine serta perkembangan membabitkan Washington dan Moscow, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada paras 4.1780/1815 berbanding dolar AS daripada 4.1845/1870 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata gandingan dolar AS/RM mendapat sokongan baik sepanjang hari ini walaupun bergerak dalam jajaran kecil seperti mana yang telah dijangkakan.

Bagi minggu ini, antara agenda utama yang menjadi tumpuan global adalah pertemuan antara pegawai AS dan Rusia membabitkan Setiausaha Negara AS Antony Blinken dan Menteri Luar Russia Sergey Lavrov yang dijadual bertemu di Eropah pada akhir minggu ini.

"Mengambil kira situasi yang tidak menentu, kami percaya pasaran tukaran asing akan terus mengekalkan strategi bertahan masing-masing.

"Berikutan itu, langkah mendapatkan jaminan menerusi mata wang selamat seperti dolar AS mungkin menjadi pilihan atau reaksi segera akibat perkembangan semasa tersebut," katanya.

Namun, Mohd Afzanizam berkata faktor lain seperti kenaikan harga komoditi seperti minyak mentah dan minyak sawit mentah akan menjadi elemen positif untuk Malaysia.

"Sehubungan itu, kemungkinan risiko penurunan terhadap ringgit sebaliknya dapat ditampan oleh peningkatan harga komoditi," katanya.

Dalam pada itu, ringgit kebanyakannya diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain kecuali yen Jepun.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1047/1075 3.1047/1075 daripada 3.1149/1170 pada akhir urus niaga Jumaat lepas dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.6959/7006 daripada 5.7001/7035.

Unit tempatan itu juga mengukuh berbanding euro kepada 4.7466/7506 daripada 4.7578/7606 namun susut berbanding yen kepada 3.6384/6418 daripada 3.6340/6361 pada Jumaat lepas.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini