Ringgit meningkat hari ketiga berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit meningkat hari ketiga berturut-turut


KUALA LUMPUR: Ringgit kekal kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari ketiga berturut-turut hari ini dengan mata wang AS terus lemah meskipun data runcit negara itu menunjukkan peningkatan menggalakkan, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, nilai mata wang tempatan bertambah kepada 4.1825/1850 berbanding dolar AS daripada penutupan Rabu pada 4.1835/1855.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar AS (DXY) jatuh sebanyak 0.18 peratus kepada 95.81 mata walaupun jualan runcit AS lebih tinggi daripada jangkaan selain Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) diunjur menaikkan kadar faedah penanda aras pada bulan Mac.

"Jualan runcit Januari AS mengukuh 3.8 peratus berbanding anggaran konsensus pertumbuhan 2.0 peratus, dan minit mesyuarat FOMC pada bulan Januari jelas mempamerkan hasrat untuk menaikkan Kadar Dana Persekutuan tidak lama lagi.

"Bagaimanapun, FOMC turut menyatakan bahawa keputusan sedemikian akan bergantung kepada data," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit kekal diniagakan antara RM4.18 dan RM4.19 hari ini, memandangkan ketidaktentuan konflik Rusia-Ukraine masih memuncak.

Sementara itu, ringgit bergerak kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama, kecuali berbanding euro yang menyaksikan ia meningkat sedikit kepada 4.7593/7621 daripada 4.7596/7618 semalam.

Berbanding dolar Singapura, mata wang tempatan susut kepada 3.1148/1171 daripada 3.1123/1140 pada penutup Rabu, lebih rendah kepada 5.6823/6857 berbanding pound Britain daripada 5.6745/6772 dan jatuh kepada 3.6225/6249 berbanding yen Jepun daripada 3.6174/6191 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini