Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari kedua berturut-turut, hasil daripada ketegangan geopolitik yang reda di Eropah Timur yang membantu mengurangkan risiko aset dan mata wang pasaran sedang pesat membangun terhadap kerugian selanjutnya, serta menstabilkan minyak mentah pada sekitar AS$94 setong.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.1835/1855 berbanding dolar AS daripada paras 4.1850/1870 pada Selasa.

Sentimen dalam pasaran ekuiti juga bertambah baik apabila indeks FBM KLCI meningkat melebihi paras 1,600 mata disebabkan sokongan belian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih.

"Sudah tentu ketegangan yang berkurangan telah membantu menyokong aset berisiko dan mata wang pasaran sedang pesat membangun.

"Bagaimanapun, persoalan mengenai berapa lama ketenangan itu kekal bertahan, terutama apabila pentadbiran Presiden AS, Joe Biden terus menyatakan pendirian untuk berhati-hati terhadap Russia," kata Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Beliau juga menyatakan bahawa data ekonomi AS menunjukkan bahawa Rizab Persekutuan AS berada di landasan untuk kenaikan kadar faedah pada Mac, mungkin membawa kepada kenaikan 50 mata asas dalam satu mesyuarat bulan depan.

Mohd Afzanizam berkata, untuk dolar AS yang lebih kukuh dalam jangka masa terdekat masih dapat dilihat dan ringgit boleh kekal pada tahap sekarang.

Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain, kecuali berbanding yen yang mana ia meningkat kepada 3.6174/6191 daripada 3.6193/6213 semalam.

Berbanding dolar Singapura, mata wang tempatan susut kepada 3.1123/1140 daripada 3.1097/1114 pada penutup Selasa, merosot kepada 5.6745/6772 berbanding pound daripada 5.6715/6742 semalam, dan jatuh berbanding euro kepada 4.7596/7618 daripada 4.7487/7510 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini